ROLE OF CODESWITCHING IN THE TALK OF PRIMARY SCHOOL
MATHEMATICS AND SCIENCE TEACHERS
Oleh: Razimi ZAkaria
RINGKASAN
Kajian ini
bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod dalam pertuturan guru Matematik
dan Sains di sekolah rendah. Ia dijalankan untuk mengkaji kategori-kategori
dalam pertuturan guru yang melibatkan penukaran kod, fungsi penukaran kod dalam
kategori pertuturan guru dan persepsi guru terhadap penggunaan bahasa pertama
semasa mengajar Matematik dan Sains. Pendekatan kualitatif telah digunakan
sebagai pendekatan penyelidikan kerana ia dianggap paling sesuai dengan soalan,
tujuan kajian dan fenomena yang dikaji. Data telah dikumpul dan dijanakan
daripada lima orang guru yang bertugas di tiga buah Sekolah kerajaan di Kelantan.
Kaedah pengumpulan data ialah melalui temu bual dan pemerhatian.
Dapatan
kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi di dalam bilik darjah dan
penukaran kod merupakan satu strategi guru untuk menyampaikan isi kandungan
pelajaran kepada pelajar. Analisis data menunjukkan guru PPSMI paling kerap
menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya semasa menerangkan makna
perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa menjelaskan isi kandungan mata
pelajaran kepada pelajar. Tahap kesukaran isi kandungan mata pelajaran juga
mempengaruhi punca guru menukar kod semasa mengajar. Penukaran kod kurang
berlaku jika isi kandungan mata pelajaran mudah dan aktiviti pembelajaran
cenderung kepada aktiviti mengulang. Guru-guru juga kerap bertanyakan soalan
untuk mendapatkan terjemahan perkataan atau frasa bahasa Inggeris. Analisis
data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan guru terhadap pemahaman
pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar. Kefahaman pelajar tentang
makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang digunakan dan konsep yang
diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa mengajar.
Dapatan
kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran kod dalam pertuturan guru
adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman pelajar akan isi kandungan mata
pelajaran yang diajar. Hasil kajian ini diharap dapat memberi pemahaman tentang
peranan penukaran kod serta kebaikan dan kelemahan amalan penukaran kod di
dalam bilik darjah kepada guru-guru yang mengajar dalam konteks bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua.
Kritikan dan komen
Persoalan
timbul tentang bagaimana guru dan pelajar mengendalikan pengajaran dan
pembelajaran matapelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, strategi yang
digunakan oleh guru Matematik dan Sains untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris
dan peranan bahasa pertama dalam pengajaran Matematik dan Sains di
sekolah-sekolah di negara ini.
Penukaran
kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh guru-guru yang mengajar di
kawasan yang menggunakan dialek tertentu. Tidak dapat disangkal bahawa adalah
perlu penukaran kod dalam pertuturan guru untuk membantu pelajar lebih faham
isi kandungan. Ini tidak bermakna pelaksanaan PPSMI tidak boleh dijalankan.
PPSMI tetap boleh dilaksanakan, cuma guru-guru perlu melakukan ulangan huraian
dengan menggunakan penukaran kod dalam pertuturan mengikut dialek yang mudah
difahami. Namun, seboleh-bolehnya guru
akan menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan penerangan sehinggalah ada
pelajar yang meminta menghuraikan dalam dialek mereka.
Artikel
ini sesuai dijadikan bacaan rujukan bagi guru-guru seperti di utara dan pantai
timur. Penukaran kod dalam pertuturan guru menjadi kebiasaan di negeri-negeri
ini. Apa yang perlu guru-guru sedari adalah fungsi penukaran kod pertuturan adalah
untuk membuatkan pelajar faham dan ia bukan untuk kesenangan dan keselesaan
guru semata-mata.
Kelemahan
artikel ini adalah ia hanya merupakan hasil kajian ke atas 5 orang guru sahaja.
Hasil dapatan mungkin akan berlainan sekiranya melibatkan ramai guru.
No comments:
Post a Comment