Showing posts with label Isu 6: Kaedah Pengajaran. Show all posts
Showing posts with label Isu 6: Kaedah Pengajaran. Show all posts

Monday, 9 April 2012

Artikel 5


PENDEKATAN PENGAJARAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK (2011)
Oleh: Abdul Razak Idris & Nor Asmah Salleh


RINGKASAN
 Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru di sekolah menengah di daerah Johor Bahru dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Hasil dapatan menunjukkan guru-guru matematik di sekolah menengah lebih menggunakan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar dan berpusatkan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.
Walaubagaimanapun, masih terdapat juga guru-guru yang menggunakan pendekatan berpusatkan guru. Di samping itu, guru-guru juga berhadapan dengan beberapa masalah apabila menggunakan pendekatan-pendekatan tersebut.

Kritikan dan komen
Artikel ini banyak berfokuskan pada cara pendekatan pengajaran guru. Kebanyakan guru menyedari bahawa sangat penting untuk melibatkan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Atas kesedaran inilah, ramai guru yang menggunakan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar dan juga pengajaran  berpusatkan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Penyelidik mendapati guru-guru kebanyakannya memilih pendekatan-pendekatan ini kerana pendekatan sebegini mampu meningkatkan tahap kefahaman pelajar berbanding kaedah pengajaran berpusatkan guru.
Pada pendapat saya, artikel ini ada kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Kekuatan artikel ini ialah penulis menggunakan penyusunan ayat yang jelas dan mudah difahami. Kekuatan isi kandungan pula, penyelidik sentiasa menekankan hasil kajian bahawa pengajaran berpusatkan pelajar adalah yang terbaik diamalkan. Penyelidik turut memberikan cadangan kaedah pengajaran berpusatkan murid yang relevan dipraktikkan oleg guru-guru. Oleh itu, saya bersetuju jika strategi yang telah dikemukan oleh penulis dicuba dan dijalankan penyelidikan untuk melihat keberkesanannya.
Kelemahan artikel ini pula ialah penulis tidak meletakkan maklumat kajian yang dirujuk, nama pengkaji serta data-data empirikal untuk menyokong kenyataan penulis dalam artikel ini. Secara keseluruhan, artikel ini sesuai dibaca oleh warga pendidik supaya sama-sama mendapat informasi dan idea bagi melaksanakan pendekatan berasaskan pelajar.

Sunday, 8 April 2012

Artikel 4


Kepentingan Kefahaman Konsep Dalam Matematik
Oleh: Azizi Hj Yahaya & Elanggovan A/L M. Savarumuthu

RINGKASAN
Kertas kerja ini meninjau beberapa aspek daripada pendapat ahli-ahli penyelidik dan psikologi mengenai kepentingan kefahaman konsep dalam pembelajaran matematik. Ia juga memberi gambaran berhubung pembentukan konsep yang betul. Di samping itu, penekanan diberikan juga kepada kepentingan pengkaedahan pembelajaran dan bagaimana ianya dapat membantu pelajar dalam memahami sesuatu konsep dengan jelas agar ianya dapat diaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Melalui kertas kerja ini, golongan pendidik dapat mengenal pasti antara punca-punca masalah kefahaman konsep dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan agar objektif pengajaran dapat dicapai dengan baiknya.
Tidak dapat dinafikan bahwa kefahaman konsep di dalam matematik adalah amat penting dalam proses pembelajaran. Kaedah pemahaman konsep dalam pengajaran matematik pada masa kini telah memberi keutamaan kepada pembentukan konsep matematik yang dikaitkan dengan pengalaman pelajar di dalam bilik darjah maupun di luar bilik darjah. Para pendidik juga sedia maklum bahawa pengetahuan merupakan sesuatu yang tidak boleh dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain sebaliknya ia hanya boleh dibina oleh pelajar itu sendiri melalui proses berinteraksi dengan persekitaran pembelajaran. Persekitaran boleh dijadikan sebagai alat perhubungan yang dapat mengaitkan idea matematik dengan pengalaman harian. Ia juga dapat memberi pengertian baru kepada konsep pembelajaran.

Kritikan dan komen
Artikel ini kurang menarik ekoran penulis hanya menghuraikan isi dari bacaan kajian-kajian lepas. Penulisan ini agak membosankan untuk diteliti. Walaubagamanapun, ia tetap boleh dijadikan sumber rujukan bagi guru-guru untuk memberikan kesedaran betapa pentingnya untuk pelajar menguasai sesuatu konsep. Ketidak fahaman konsep akan menyebabkan pelajar akan keciciran. Maka, penting bagi guru untuk mengesan dan mengetahui tahap kefahaman murid bagi setiap tajuk.
Bahasa yang digunakan dalam artikel ini ringkas dan padat. Ia banyak kepada fakta berbanding huraian. Fakta yang dikemukakan sesuai dengan isi yang ingin disampaikan. Tetapi fakta kajian-kajian lepas dari segi data nombor tidak dinyatakan. Penulis hanya mengambil ‘quotation’ semata-mata. Pada pendapat saya, penulis perlu memasukkan sedikit data-data hasil kajian lepas sebagai sokongan kepada fakta yang dikemukakan.

Saturday, 7 April 2012

Artikel 3


Pembelajaran Matematik Di Luar Bilik Darjah Dan Penggunaan Seni Warisan Dikir Barat
Oleh: Husna Hasan, Salmiza Shariff, Noor Idiana Adnan

RINGKASAN
Kajian ini dijalankan bagi meninjau sejauh mana keberkesanan kem motivasi matematik yang berasaskan penggunaan seni warisan dikir barat terhadap persepsi pelajar dan  tahap kefahaman konsep matematik mereka.
            Kem motivasi ini menerapkan kaedah pembelajaran matematik di luar bilik darjah. Pelbagai aktiviti yang menarik dijalankan tidak seperti pembelajaran di bilik darjah yang kebiasaannya dijalankan secara normal. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kem motivasi ini adalah aktiviti rekreasi matematik yang menuntut pelajar menjalankan penyiasatan mini bagi menyelesaikan masalah matematik, aktiviti rekacipta yang menuntut pelajar mencipta model kawasan sekolah menggunakan bentuk-bentuk geometri, aktiviti mini olimpiad di mana pelajar perlu menjawab beberapa soalan yang mencabar dan seterusnya aktiviti pentas matematik di mana pelajar berpeluang membuat persembahan pentas bertemakan unsur-unsur matematik. Apa yang akan difokuskan oleh penyelidik adalah aktiviti persembahan pentas yang melibatkan persembahan seni warisan dikir barat. Penyelidik menguji bagaimana dikir barat boleh digunakan dan penerimaan pelajar dalam pembelajaran satu konsep matematik.   
          Kajian ini melibatkan 100 orang pelajar tahun 4 yang berumur 10 tahun dari 12 buah sekolah luar bandar disekitar sebuah negeri yang dipilih untuk menghadiri kem ini. Pelajar-pelajar yang dipilih menyertai kem ini terdiri dari pelajar GALUS. Ini bertujuan memudahkan penyelidik melihat perbezaan pencapaian yang signifikasi selepas kem motivasi dijalankan. Penyelidik percaya bahawa pencapaian pelajar GALUS  boleh ditingkatkan dengan adanya sokongan dan dorongan.
         Sebulan selepas kem motivasi dijalankan, seramai 58 bekas peserta kem ditemuduga dan disoal selidik bagi mengkaji tahap keberkesanan kem tersebut terutama terhadap minat dan pandangan mereka terhadap matematik. Hasil daripada temuduga dan soal selidik terhadap 58 pelajar tersebut, didapati bahawa tujuh daripada lapan orang pelajar yang pada asalknya tidak meminati matematik mula menyukai matematik selepas menyertai kem ini.
         Kesimpulannya, keberkesanan kaedah pembelajaran luar bilik darjah yang melibatkan seni warisan dikir barat ini memberikan kesan yang bererti terhadap minat dan tanggapan pelajar. Guru perlu kreatif mempebagaikan kaedah pengajaran supaya dapat menarik minat pelajar. Harus diingat bahawa pembelajaran bukan hanya berlaku dalam bilik darjah sahaja.
Kritikan dan komen
     Artikel ini sangat menarik minat saya dan membuatkan saya terfikir untuk mengaitkannya dengan etnomatematik. Jarang pendekatan sebegini diamalkan di kalangan guru-guru di Malaysia. Ianya merupakan idea kreatif pada penyelidik. Penyelidik memanipulasikan minat dan kecenderungan kesenian dikir barat bagi menarik minat pelajar untuk belajar matematik dan seterusnya menguasai konsep matematik. Pada masa yang sama, bukan sahaja konsep matematik yang dikuasai, aktiviti seperti ini mampu memupuk semangat cintakan warisan budaya sendiri. Ia memberikan kesedaran untuk memelihara seni budaya agar tidak luput ditelan zaman.
Kekuatan artikel ini adalah dari segi huraiannya yang jelas. Bahasa yang digunakan mudah difahami. Kajian ini melibatkan seramai 58 murid yang mana hasilnya boleh mewakili pelajar-pelajar di Kelantan. Limitasinya pula adalah, hasil kajian ini tidak boleh di anggap hasil bagi seluruh pelajar di Malaysia kerana dikir barat hanya budaya bagi penduduk di Kelantan.

Friday, 6 April 2012

Artikel 2


Keberkesanan Kaedah Konstruktivisme Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik
Oleh: Zainal Abidin Bin Zainuddin & Afrinaleni Binti Suardi

RINGKASAN
Artikel ini mengupas tentang kajian keberkesanan kaedah kontruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta melihat sikap dan tanggapan pelajar terhadap subjek matematik dalam kaedah pengajaran.
Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Sampel kajian yang dipilih oleh penyelidik adalah terdiri daripada 40 orang pelajar Tingkatan 1 di Daerah Mersing. Pelajar yang terlibat adalah pelajar berprestasi sederhana dalam matematik berdasarkan keputusan UPSR 2008.             Untuk kajian ini, penyelidik fokuskan tajuk perimeter. Selepas tinjauan, penyelidik mendapati pelajar menghadapi beberapa kelemahan menjawab soalan yang melibatkan penggunaan formula. Hasil daripada pemerhatian penyelidik semasa kajian dijalankan, didapati pelajar tidak memberi tumpuan semasa proses p&p, tidak memahami kehendak soalan dan tidak memahami konsep perimeter.
Bagi mengenalpasti keberkesanan kaedah konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik, penyelidik mewujudkan dua kumpulan pelajar iaitu kumpulan eksperimental yang akan belajar dengan kaedah konstruktivisme, dan kumpulan kawalan yang belajar kaedah tradisional. Kajian ini adalah kajian yang berbentuk kuantitatif dan kualitatif. Ia melibatkan ujian pra, ujian pos dan soal selidik untuk mengumpul data kuantitatif. Manakala, untuk data kualitatif data didapati melalui  sesi temubual bersama responden dan guru matematik.
Hasil dari kajian ini, didapati bahawa pencapaian pelajar meningkat sebanyak 15 % dengan pengaplikasian kaedah pembelajaran konstruktivism dalam kelas matematik. Penyelidik juga mendapati bahawa pelajar akan menjadi seorang yang aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan kerana kaedah ini menggalakkan pelajar lebih berfikir, lebih yakin, lebih berkemahiran sosial kerana pembelajaran dua hala, serta lebih seronok dengan aktiviti yang dilakukan.

Kritikan dan komen
Saya menyokong hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik ini. Kaedah konstruktivisme sememangnya memberikan banyak perbezaan dari pelbagai segi kepada pelajar. Terutamanya dari segi penglibatan pelajar, kemahiran berfikir, kemahiran social, keyakinan diri dan sebagainya. Semua kelebihan ini tidak akan pelajar kecapi sekiranya amalan pengajaran secara tradisional diamalkan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran memberikan sumbangan besar terhadap tahap kefahaman mereka. Pelajar mudah memahami sesuatu situasi sekiranya mereka sendiri mengalaminya.
Artikel ini menyediakan data-data termasuk data numerasi yang lengkap mengenai hasil kajian. Huraian juga disokong dengan fakta-fakta hasil dari kajian lepas. Penyusunan ayat yang ringkas dan padat membantu pembaca memahaminya dengan cepat. Gaya bahasa yang digunakan juga sesuai untuk penulisan ilmiah ini.

Thursday, 5 April 2012

Artikel 1


INVESTIGATORY APPROACHES IN MATHEMATICS TEACHING: IMPLICATIONS FOR TEACHER TRAINING IN INDIA

By: Dr. Viiayalakshmi Chilakamarri.

RINGKASAN
Dalam dunia sains teknologi kini, adalah sangat perlu untuk membentuk dan membangunkan kemahiran berfikir, kemahiran eksplorasi dan kemahiran eksperimentasi dikalangan pelajar sekolah. Matematik merupakan subjek yang sangat sesuai dijadikan lapangan untuk menggarap dan menggilap kemahiran-kemahiran ini dikalangan pelajar melalui pendekatan penyiasatan. Dalam ‘the Initial Teacher Training Institutes and its impact on teaching mathematics in the Secondary Schools’. Satu percubaan dibuat untuk meneliti dengan lebih dekat bagaimana pendekatan penyiasatan digunakan dalam the Initial Teacher Training Institutions pada peringkat university dan bagaimana pula kesannya dalam meningkatkan kualiti pencapaian matematik diperingkat sekolah menengah.
Hasil penyelidikan terbaru dari negara-negara lain menekankan kegunaan kaedah pengajaran yang memberi peluang pelajar berfikir tentang strategi penyelesaian dan bukan hanya membaca, menghafal dan mendengar teori matematik sahaja. Di India, terdapat ramai guru yang tidak berpuas hati dengan cara pengajaran matematik terutamanya di sekolah rendah dan menengah. Mereka merasakan mereka tidak memberikan peluang dan persekitaran yang mengarah kepada pemikiran secara matematik yang secukupnya kepada pelajar. Hasil kesedaran ini, guru-guru berusaha untuk membaiki cara pendekatan mereka. Pelbagai kaedah pendekatan digunakan demi meningkat tahap kefahaman pelajar terutama kaedah pendekatan penyiasatan.
Didapati penggunaan pendekatan penyiasatan ini memberikan kesan positif kepada pelajar. Pelajar dilihat bersemangat melakukan eksplorasi. Mereka aktif meneroka dan berhubung antara kumpulan semasa aktiviti matematik dijalankan.

Kritikan dan komen
Artikel ini menggambarkan keadaan sebenar cara pendekatan yang digunapakai di India. Dan didapati wujudnya kesedaran dikalangan guru-guru untuk menggunakan pendekatan yang lebih baik bagi memastikan pelajar faham konsep matematik iaitu pendekatan penyiasatan. Saya bersetuju dengan pendapat penyelidik bahawa pendekatan penyasatan mampu menyuntik kemahiran berfikir dan kemahiran eksplorasi pelajar. Pembelajaran aktif akan memberikan impak yang positif terhadap diri pelajar itu sendiri.
       Secara keseluruhannya, artikel ini sesuai menjadi bahan bacaan para guru yang mahu melakukan perubahan pendekatan tetapi masih tercari-cari pendekatan yang ingin dicuba. Namun, ada sedikit kelemahan aritikel ini di mana ia tiada rujukan ilmiah yang menyokong pandangan yang dibicarakan.