Friday, 6 April 2012

Artikel 2


Keberkesanan Kaedah Konstruktivisme Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik
Oleh: Zainal Abidin Bin Zainuddin & Afrinaleni Binti Suardi

RINGKASAN
Artikel ini mengupas tentang kajian keberkesanan kaedah kontruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta melihat sikap dan tanggapan pelajar terhadap subjek matematik dalam kaedah pengajaran.
Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Sampel kajian yang dipilih oleh penyelidik adalah terdiri daripada 40 orang pelajar Tingkatan 1 di Daerah Mersing. Pelajar yang terlibat adalah pelajar berprestasi sederhana dalam matematik berdasarkan keputusan UPSR 2008.             Untuk kajian ini, penyelidik fokuskan tajuk perimeter. Selepas tinjauan, penyelidik mendapati pelajar menghadapi beberapa kelemahan menjawab soalan yang melibatkan penggunaan formula. Hasil daripada pemerhatian penyelidik semasa kajian dijalankan, didapati pelajar tidak memberi tumpuan semasa proses p&p, tidak memahami kehendak soalan dan tidak memahami konsep perimeter.
Bagi mengenalpasti keberkesanan kaedah konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik, penyelidik mewujudkan dua kumpulan pelajar iaitu kumpulan eksperimental yang akan belajar dengan kaedah konstruktivisme, dan kumpulan kawalan yang belajar kaedah tradisional. Kajian ini adalah kajian yang berbentuk kuantitatif dan kualitatif. Ia melibatkan ujian pra, ujian pos dan soal selidik untuk mengumpul data kuantitatif. Manakala, untuk data kualitatif data didapati melalui  sesi temubual bersama responden dan guru matematik.
Hasil dari kajian ini, didapati bahawa pencapaian pelajar meningkat sebanyak 15 % dengan pengaplikasian kaedah pembelajaran konstruktivism dalam kelas matematik. Penyelidik juga mendapati bahawa pelajar akan menjadi seorang yang aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan kerana kaedah ini menggalakkan pelajar lebih berfikir, lebih yakin, lebih berkemahiran sosial kerana pembelajaran dua hala, serta lebih seronok dengan aktiviti yang dilakukan.

Kritikan dan komen
Saya menyokong hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik ini. Kaedah konstruktivisme sememangnya memberikan banyak perbezaan dari pelbagai segi kepada pelajar. Terutamanya dari segi penglibatan pelajar, kemahiran berfikir, kemahiran social, keyakinan diri dan sebagainya. Semua kelebihan ini tidak akan pelajar kecapi sekiranya amalan pengajaran secara tradisional diamalkan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran memberikan sumbangan besar terhadap tahap kefahaman mereka. Pelajar mudah memahami sesuatu situasi sekiranya mereka sendiri mengalaminya.
Artikel ini menyediakan data-data termasuk data numerasi yang lengkap mengenai hasil kajian. Huraian juga disokong dengan fakta-fakta hasil dari kajian lepas. Penyusunan ayat yang ringkas dan padat membantu pembaca memahaminya dengan cepat. Gaya bahasa yang digunakan juga sesuai untuk penulisan ilmiah ini.

No comments:

Post a Comment