Saturday 14 April 2012

Pengurusan Kurikulum Sekolah Menengah Dan Hubungannya Dengan Pencapaian Akademik


Daripada: Rosnah Selamat
Web : http://etd.uum.edu.my/754/1/ROSNAH_SELAMAT.pdf


Artikel ini membincangkan tentang  sejauh manakah budaya pengurusan kurikulum yang sistematik, berkesan dan cemerlang telah diamalkan di sekolah-sekolah menengah pada hari ini, untuk mengetahui adakah sistem pengurusan kurikulum di sekolah pencapaian cemerlang berbeza dengan sekolah pencapaian sederhana dan untuk mengetahui adakah sistem pengurusan kurikulum sesebuah sekolah mempengaruhi pencapaian sekolah tersebut dalam Peperiksaan Awam. Sistem pengurusan kurikulum yang meliputi sistem pengurusan panitia di kebanyakan sekolah menengah pada hari ini hanya pada tahap yang memuaskan sahaja. Hanya sebahagian kecil sahaja sekolah yang telah mengamalkan budaya pengurusan kurikulum yang boleh dianggap sistematik, berkesan dan cemerlang. Didapati sistem pengurusan kurikulum di sekolah pencapaian cemerlang lebih baik daripada sekolah pencapaian sederhana dan keberkesanan sistem pengurusan kurikulum sesebuah sekolah merupakan antara faktor yang mempengaruhi pencapaian sekolah tersebut dalam Peperiksaan Awam. Faktor utama kejayaan sesuatu reformasi kurikulum tidak semata-mata terletak pada perancangan yang mantap dan berterusan di peringkat atas, malah yang lebih penting ialah keberkesanan pelaksanaan reformasi tersebut di peringkat pelaksanaan yang paling bawah. Oleh yang demikian, pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah, khususnya di dalam bilik darjah, merupakan faktor penentu kejayaan reformasi tersebut. Betapa pun rapinya perancangan sesuatu reformasi di peringkat atasan, tetapi jika pelaksanaannya di peringkat sekolah tidak sistematik, tidak terancang dan pihak pengurusan sekolah tidak peka terhadap nilai dan aspirasi yang hendak dicapai, maka perubahan yang diharapkan tidak Alan berlaku ( Anas Ahmad, 1988). Kurikulum bolehlah dianggap sebagai nadi kepada sesebuah sekolah. Dalam pengertian yang luas kurikulum adalah segala-galanya bagi sesebuah sekolah. Oleh yang demikian, pengurusan kurikulum adalah satu bidang yang amat penting. Ia sama penting dengan proses pengajaranpembelajaran. Justeru itu, kedua-dua aspek pengajaran dan pembelajaran dan pengurusannya perlu diberi perhatian yang sama. Penyeliaan pengurusan kurikulum sekolah dan panitia-panitia mata pelajaran hendaklah dijalankan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan sekolah supaya semua program kurikulum sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

No comments:

Post a Comment