Wednesday 11 April 2012

Artikel 2


Pengaruh Jenis Latihan Guru dan Pengalaman Mengajar Terhadap Efikasi Guru Sekolah Menengah

Oleh: Khalid Johari, Zurida Ismail, Shuki Osman, Ahmad Tajuddin Othman


Artikel ini membincangkan tentang pengaruh yang disumbangkan oleh faktor-faktor kelayakan guru, iaitu jenis latihan guru dan pengalaman mengajar terhadap efikasi guru-guru sekolah menengah. Kajian menunjukkan guru-guru keluaran program Diploma Pendidikan Malaysia berada pada aras tertinggi dalam efikasi berbanding guru-guru keluaran program lain. Guru-guru yangberpengalaman mengajar melebihi tujuh tahun berbeza secara statistik dalam aspek efikasi berbanding guru-guru dengan pengalaman mengajar kurang daripada tujuh tahun. Kajian ini mencadangkan guru-guru siswazah terlatih perlu diberi peluang mengajar dalam persekitaran yang positif bagi membolehkan mereka membina efikasi guru yang positif. Kajian-kajian lepas mendapati guru-guru yang merasa kurang bersedia berdepan dengan masalah dalam pengajaran kerap menganggap diri mereka tidak berpengalaman dan tidak mendapat latihan yang mencukupi (Buell et al. 1999; Cains & Brown 1996; Martin et al. 1999). Dalam konteks profesion guru, pengalaman dan latihan guru merupakan dua isu yang saling berbeza. Pengalaman merupakan pengetahuan empirikal sementara latihan guru lebih bersifat teoritikal. Kedua-duanya saling memerlukan untuk menjadikan seseorang guru mencapai tahap kecekapan yang dituntut. Sehubungan itu, Goodwin (1999) mentakrifkan latihan guru dan pengalaman mengajar sebagai antara kelayakan asas yang utama dalam pengajaran berkesan. Pendidikan dan latihan iktisas guru merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan kualiti guru dan kualiti pengajaran. Kalangan pakar telah sepakat bahawa penguasaan pengetahuan dalam bidang pengajaran menjadi ciri yang paling penting dalam pengajaran guru. Selain itu, faktor pengalaman mengajar merupakan pengetahuan yang dibentuk oleh interaksi antara faktor-faktor persekitaran kerja. Tempoh dan kekerapan melalui tugas pengajaran sama ada berjaya atau sebaliknya, sedikit demi sedikit membina pengetahuan dan kemahiran profesion yang diperlukan. Guru-guru berpengalaman banyak bergantung kepada ingatan dan tafsiran terhadap pengalaman pengajaran terdahulu yang berkaitan (Gist & Mitchell 1992). Selain faktor kelayakan guru dalam mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru, terdapat juga faktor-faktor lain yang berpotensi mencorakkan pencapaian murid, antaranya ialah kepercayaan efikasi guru. Bandura (1997) mendefinisikan efikasi guru sebagai kepercayaan guru terhadap keupayaan diri untuk mengendalikan pengajaran secara berkesan ke arah mempengaruhi pencapaian murid.

No comments:

Post a Comment