Showing posts with label Isu 7: Pengajaran Standard Profesional. Show all posts
Showing posts with label Isu 7: Pengajaran Standard Profesional. Show all posts

Sunday, 15 April 2012

Artikel 5


Cabaran Guru Sandaran Terlatih Di Sekolah
Oleh: Siti Zohara Binti Yassin


            Artikel ini membincangkan tentang cabaran yang dihadapi oleh Guru Sandaran Terlatih apabila ditempatkan di sekolah. Antara cabaran yang dihadapi oleh GST ialah perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan penerimaan komuniti sekolah. Dapatan kajian ini mendapati GST tidak bersedia apabila ditugaskan mengajar matapelajaran bukan opsyen dan, mengajar kelas peperiksaan. Semua GST didapati tidak mempunyai pengetahuan dan tidak berminat apabila ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan opsyen. Tetapi dalam menguruskan aktiviti sekolah, didapati GST mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menunjukkan pretasi yang membanggakan. Sebaik sahaja tamat mengikuti latihan di institut perguruan, GST akan ditempatkan di sekolah. Penempatan GST adalah berdasarkan kepada keperluan guru di sekolah tersebut. Ini bermakna GST perlu mampu memenuhi keperluan di sekolah. Apabila situasi ini berlaku sudah tentu GST akan menerima pelbagai tanggungjawab yang tidak dijangkakan. Cabaran ini sebenarnya menguji ketahanan GST. Cabaran ini ialah sejauh mana GST mampu bertahan apabila ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan opsyen dan kelas peperiksaan dan sejauh mana GST mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah. Tindakan yang diambil oleh GST adalah strategi dalam menangani cabaran di sekolah. Tindakan yang diambil oleh GST juga mengambarkan sokongan pihak sekolah. yang terdiri daripada rakan sejawat, panatia/ketua jabatan, pengetua dan staf sokongan. Sokongan memberi rasa selamat dan keyakinan kepada GST dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Sebenarnya kemampuan GST untuk menghadapi cabaran ini bergantung kepada kesediaan dan semangat GST. Semangat GST mestilah kental dan GST juga perlu bersedia untuk belajar, berkorban dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika GST tidak mempunyai semangat ini, kegagalan menangani masalah yang dihadapi di peringkat awal akan melemahkan semangat mereka untuk menghadapi cabaran seterusnya. Ini adalah kerana kegagalan boleh mempengaruhi kepuasan kerja dan ketahanan GST. Bolehlah disimpulkan ketahanan GST mengharungi cabaran di sekolah bergantung kepada semangat yang mengambarkan nilai dan sikap positif dalam menghadapi cabaran.

Friday, 13 April 2012

Artikel 4


Profession Keguruan Pilihan Terakhir? Suatu Tinjauan
Oleh: Ibrahim bin Ahmad


            Artikel ini membincangkan tentang cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dalam era digital serta persoalan yang timbul iaitu adakah profession ini merupakan pilihan terakhir. Dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira dari segi pendidiknya, kaedah yang digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkatserta isu-isu semasa yang tidak pernah sunyi dari membabitkan diri pendidik tersebut. Bidang perguruan sering dianggap sebagai profession kelas pertengahan jauh ditinggalkan oleh bidang-bidang professional yang lain seperti kedoktoran, kejuruteraan mahupun bidang perakaunan. Masyarakat menganggap bidang ini adalah pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya professional lain yang sesuai atau tidak mendapat kerja. Masyarakat menganggap untuk menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang sukar. Bidang keguruan sering dianggap sebagai satu kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah orang. Sebenarnya tanggungjawab mendidik anak bangsa bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana jatuh bangun anak bangsa terletak di atas bahu kita. Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah antara yang perlu ditangani oleh para pendidik untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Pada asanya profession keguruan sejak dari dulu lagi adalah sama, iaitu mengajar, mendidik dan mengubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira, dan tidak boleh membaca kepada seorang yang celik huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya (Shuib & Johari, 2001)


Thursday, 12 April 2012

Artikel 3


Sistem Pendidikan Yang Berkualiti : Bagaimana Ia Diukur Dan Dicapai

Oleh: Mohd Salleh Lebar


            Artikel ini membincangkan tentang sistem pendidikan yang berkualiti melalui ukuran dan pencapaian. Pendidikan merupakan agenda yang amat penting bagi sesebuah Negara. Selepas Negara kita mencapai kemerdekaan, system pendidikan dilaksanakan secara berpusat. Kawalan ini meliputi dari peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan tinggi bagi memastikan ia berjalan dengan baik dan mempunyai kualiti yang diharapkan. Bagi memastikan sistem pendidikan itu berkualiti bukannya sesuatu yang mudah kerana ia merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan guru, kelengkapan sekolah, keperluan alat bantu mengajar, kualiti kurikulum dan sebagainya. Di sini kita mencari satu pengukuran yang boleh diterima bagi memastikan sesuatu sistem pendidikan itu berkualiti dan sentiasa mengikuti arus perubahan global. Justeru itu, ia merupakan konsep utama dalam perkara yang berkaitan dengan kualiti seperti kecemerlangan dalam sesuatu hasil dan memenuhi keperluan pengguna. Hasil yang boleh kita dapati ialah kejayaan murid, guru dan kejayaan memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Ini menunjukkan kualiti dan juga standard memainkan peranan yang penting dalam kemajuan dan proses pendidikan di negara kita. Dengan kata lain, kebanyakan pelajar dan masyarakat yang berpendidikan menghendaki pendidikan yang berkualiti. Mereka tidak mahu melihat pendidikan yang ketinggalan di belakang dan tidak dapat bersaing dengan arus globalisasi. Kesesuaian ini berkaitan dengan guru yang berkualiti, pencapaian sekolah yang baik di dalam peperiksaan, dan mempunyai kawalan disiplin yang baik. Guru yang berkualiti ialah guru yang rajin dan berusaha memperbaharui kaedah pengajarannya sering berfikir mengenai kejayaan pelajar.

Wednesday, 11 April 2012

Artikel 2


Pengaruh Jenis Latihan Guru dan Pengalaman Mengajar Terhadap Efikasi Guru Sekolah Menengah

Oleh: Khalid Johari, Zurida Ismail, Shuki Osman, Ahmad Tajuddin Othman


Artikel ini membincangkan tentang pengaruh yang disumbangkan oleh faktor-faktor kelayakan guru, iaitu jenis latihan guru dan pengalaman mengajar terhadap efikasi guru-guru sekolah menengah. Kajian menunjukkan guru-guru keluaran program Diploma Pendidikan Malaysia berada pada aras tertinggi dalam efikasi berbanding guru-guru keluaran program lain. Guru-guru yangberpengalaman mengajar melebihi tujuh tahun berbeza secara statistik dalam aspek efikasi berbanding guru-guru dengan pengalaman mengajar kurang daripada tujuh tahun. Kajian ini mencadangkan guru-guru siswazah terlatih perlu diberi peluang mengajar dalam persekitaran yang positif bagi membolehkan mereka membina efikasi guru yang positif. Kajian-kajian lepas mendapati guru-guru yang merasa kurang bersedia berdepan dengan masalah dalam pengajaran kerap menganggap diri mereka tidak berpengalaman dan tidak mendapat latihan yang mencukupi (Buell et al. 1999; Cains & Brown 1996; Martin et al. 1999). Dalam konteks profesion guru, pengalaman dan latihan guru merupakan dua isu yang saling berbeza. Pengalaman merupakan pengetahuan empirikal sementara latihan guru lebih bersifat teoritikal. Kedua-duanya saling memerlukan untuk menjadikan seseorang guru mencapai tahap kecekapan yang dituntut. Sehubungan itu, Goodwin (1999) mentakrifkan latihan guru dan pengalaman mengajar sebagai antara kelayakan asas yang utama dalam pengajaran berkesan. Pendidikan dan latihan iktisas guru merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan kualiti guru dan kualiti pengajaran. Kalangan pakar telah sepakat bahawa penguasaan pengetahuan dalam bidang pengajaran menjadi ciri yang paling penting dalam pengajaran guru. Selain itu, faktor pengalaman mengajar merupakan pengetahuan yang dibentuk oleh interaksi antara faktor-faktor persekitaran kerja. Tempoh dan kekerapan melalui tugas pengajaran sama ada berjaya atau sebaliknya, sedikit demi sedikit membina pengetahuan dan kemahiran profesion yang diperlukan. Guru-guru berpengalaman banyak bergantung kepada ingatan dan tafsiran terhadap pengalaman pengajaran terdahulu yang berkaitan (Gist & Mitchell 1992). Selain faktor kelayakan guru dalam mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru, terdapat juga faktor-faktor lain yang berpotensi mencorakkan pencapaian murid, antaranya ialah kepercayaan efikasi guru. Bandura (1997) mendefinisikan efikasi guru sebagai kepercayaan guru terhadap keupayaan diri untuk mengendalikan pengajaran secara berkesan ke arah mempengaruhi pencapaian murid.

Tuesday, 10 April 2012

Artikel 1


Masalah Guru Dalam Melaksanakan Pengajaran Mata Pelajaran KBSM
Oleh: Zuber bin Hj. Hassan

           
Kajian ini bertujuan mendedahkan masalah guru dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran KBSM. Aspek kajian termasuklah memahami huraian sukatan pelajaran, memilih isi kandungan, kaedah pengajaran, menentukan aktiviti pembelajaran, penyediaan bahan bantu mengajar, penggunaan buku teks, merancang rancangan pelajaran, penilaian dan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran. Kajian menunjukkan ramai guru menghadapi masalah dalam pelaksanaan pengajaran mata pelajaran KBSM dari aspek penyediaan bahan bantu mengajar dan soalan peperiksaan, perancangan aktiviti termasuk rancangan pelajaran, penerapan nilai murni, penggunaan buku teks dan penguasaan sukatan pelajaran. Masalah penyediaan bahan bantu mengajar yang dihadapi mungkin member impak negatif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran . Guru seharusnya menggunakan bahan bantu mengajar kerana ia melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia juga menjimatkan masa, tenaga dan kewangan serta menghiburkan pelajar semasa belajar. Tambahan pula, ia membantu pelajar menerima kesan pembelajaran yang maksimum melalui proses pengajaran yang berlainan. Penggunaan bahan bantu mengajar boleh menberi banyak faedah dan tidak seharusnya menjadi masalah utama dan tidak harus dipandang ringan. Pengajaran merupakan  aspek yang penting di dalam pendidikan. Menurut Smith (1960) dan cornell (1991), pengajaran adalah satu aktiviti yang ditujukan kepada pelajar. Battle dan Shannon (1978) pula berpendapat, pengajaran merupakan proses penyampaian idea yang membantu pelajar mengubah tingkah laku dengan cara sedar ke arah tujuan dan matlamat pendidikan. Dalam konteks ini, jelas bahawa pengajaran seharusnya mempunyai aktiviti yang dilakukan oleh guru dan ia mempunyai kaitan dengan tujuan, matlamat, isi kandungan, indoktrinasi dan kaedah pengajaran.