Sunday 15 April 2012

Kajian Kerelevenan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dengan Kurikulum


Daripada: Alias Mat Saad, Nik Mohd. Rahimi Nik Yusoff, Ruhizan Mohammad Yassin
Web : http://journalarticle.ukm.my/2315/1/6_alias_artikel.pdf


Kurikulum pendidikan yang dibangunkan perlulah selaras dengan aspirasi wawasan Negara, supaya generasi yang dididik dapat memenuhi tuntutan negara pada masa depan. Kegagalan kurikulum pendidikan untuk menselarikan objektifnya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan menyebabkan generasi yang dididik memberi masalah kepada negara. ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara " (Falsafah Pendidikan Kebangsaan). Matlamat pendidikan Negara bolehlah dinyatakan secara ringkas sebagai usaha untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan yang percaya dan patuh kepada Tuhan,berilmu pengetahuan, berfikiran kreatif dan rasional, berakhlak mulia, berketrampilan, berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara,setia kepada negara dan bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik dan mesra di antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia. Menurut Power (1982) kerelevenan ilmu itu ialah ilmu pengetahuan yang bermakna yang boleh diamalkan dan boleh memberi signifikannya kepada kehidupan. Oleh itu, kepada mereka yang terlibat dalam membangunkan sesuatu kurikulum ataupun modul untuk pelajar, kewajaran melihat kerelevenan ilmu itu perlu dibuat supaya hasil daripada kurikulum ataupun modul itu mampu untuk membolehkan seseorang pelajar itu menghadapi cabaran sebenar dalam masyarakatnya. Selain itu juga, kerelevenan sesuatu objektif pendidikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperlukan kerana ia berguna dalam menentukan perancangan dan perkembangan pendidikan. Menurut Ishak (2005) berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita boleh mencadangkan matlamat pendidikan, merancang objektif dan aktiviti sesebuah institusi pendidikan, mencadangkan teori-teori pembelajaran yang akan digunakan serta membuat strategi bagi proses menggubal sesebuah kurikulum agar releven dengan kehendak semasa.

No comments:

Post a Comment