Sunday, 1 April 2012

Artikel 3


ROLE OF CODESWITCHING IN THE TALK OF PRIMARY SCHOOL MATHEMATICS AND SCIENCE TEACHERS
Oleh: Razimi ZAkaria



RINGKASAN
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod dalam pertuturan guru Matematik dan Sains di sekolah rendah. Ia dijalankan untuk mengkaji kategori-kategori dalam pertuturan guru yang melibatkan penukaran kod, fungsi penukaran kod dalam kategori pertuturan guru dan persepsi guru terhadap penggunaan bahasa pertama semasa mengajar Matematik dan Sains. Pendekatan kualitatif telah digunakan sebagai pendekatan penyelidikan kerana ia dianggap paling sesuai dengan soalan, tujuan kajian dan fenomena yang dikaji. Data telah dikumpul dan dijanakan daripada lima orang guru yang bertugas di tiga buah Sekolah kerajaan di Kelantan. Kaedah pengumpulan data ialah melalui temu bual dan pemerhatian.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi di dalam bilik darjah dan penukaran kod merupakan satu strategi guru untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajar. Analisis data menunjukkan guru PPSMI paling kerap menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya semasa menerangkan makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa menjelaskan isi kandungan mata pelajaran kepada pelajar. Tahap kesukaran isi kandungan mata pelajaran juga mempengaruhi punca guru menukar kod semasa mengajar. Penukaran kod kurang berlaku jika isi kandungan mata pelajaran mudah dan aktiviti pembelajaran cenderung kepada aktiviti mengulang. Guru-guru juga kerap bertanyakan soalan untuk mendapatkan terjemahan perkataan atau frasa bahasa Inggeris. Analisis data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan guru terhadap pemahaman pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar. Kefahaman pelajar tentang makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang digunakan dan konsep yang diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa mengajar.
Dapatan kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran kod dalam pertuturan guru adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman pelajar akan isi kandungan mata pelajaran yang diajar. Hasil kajian ini diharap dapat memberi pemahaman tentang peranan penukaran kod serta kebaikan dan kelemahan amalan penukaran kod di dalam bilik darjah kepada guru-guru yang mengajar dalam konteks bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Kritikan dan komen
Persoalan timbul tentang bagaimana guru dan pelajar mengendalikan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, strategi yang digunakan oleh guru Matematik dan Sains untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris dan peranan bahasa pertama dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah di negara ini.
Penukaran kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh guru-guru yang mengajar di kawasan yang menggunakan dialek tertentu. Tidak dapat disangkal bahawa adalah perlu penukaran kod dalam pertuturan guru untuk membantu pelajar lebih faham isi kandungan. Ini tidak bermakna pelaksanaan PPSMI tidak boleh dijalankan. PPSMI tetap boleh dilaksanakan, cuma guru-guru perlu melakukan ulangan huraian dengan menggunakan penukaran kod dalam pertuturan mengikut dialek yang mudah difahami.  Namun, seboleh-bolehnya guru akan menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan penerangan sehinggalah ada pelajar yang meminta menghuraikan dalam dialek mereka.
Artikel ini sesuai dijadikan bacaan rujukan bagi guru-guru seperti di utara dan pantai timur. Penukaran kod dalam pertuturan guru menjadi kebiasaan di negeri-negeri ini. Apa yang perlu guru-guru sedari adalah fungsi penukaran kod pertuturan adalah untuk membuatkan pelajar faham dan ia bukan untuk kesenangan dan keselesaan guru semata-mata.
Kelemahan artikel ini adalah ia hanya merupakan hasil kajian ke atas 5 orang guru sahaja. Hasil dapatan mungkin akan berlainan sekiranya melibatkan ramai guru.


Saturday, 31 March 2012

Artikel 2


PERSEPSI GURU SAINS PPSMI TERHADAP MASALAH PELAKSANAAN PENGAJARAN SUBJEK SAINS (PPSMI) DI SEKOLAH RENDAH KAWASAN SKUDAI, JOHOR BAHRU.
Oleh: Aziz Bin Nordin & Yang See Boon


RINGKASAN
Kajian ini bertujuan untuk meninjau persepsi guru sainS PPSMI terhadap perlaksanaan pengajaran matapelajaran sains di Sekolah Rendah di kawasan Skudai, Johor Bahru. Dalam
kajian ini, aspek yang dikaji adalah persepsi guru dari segi faedah, pendedahan maklumat serta masalah-masalah yang dihadapi. Sampel kajian melibatkan 87 orang guru sains (PPSMI) di enam belas sekolah rendah di kawasan Skudai, Johor. Instrumen kajian digunakan adalah soal selidik untuk mendapatkan data. Data mentah dianalisis dengan menggunakan Perisiaan komputer SPSS 14.0 for window. Peratusan, min dan sisihan piawai dikira. Dapatan kajian menunjukkan respoden mempunyai persepsi yang rendah terhadap perlaksanaan pengajaran mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris dari segi pendedahan maklumat dan faedahnya. Masalah-masalah yang dihadapi pula berada pada tahap sederhana. Didapati bahawa prestasi pelajar adalah kurang memuaskan dengan 85.1% pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir 2003. Ini disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang baik mempengaruhi proses pemahaman konsep sains mereka. Selain itu, dapatan kajian Low (2004) mendapati kebanyakan pelajar menghadapi kesukaran dalam menyampaikan jawapan bagi soalan sains dalam bahasa Inggeris. Ini juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi prestasi pelajar dalam subjek sains.

 Kritikan & komen
Artikel ini berfokuskan kepada kekangan yang dihadapi guru dalam pelaksanaan PPSMI untuk subjek sains dan kesannya pada pencapaian murid.  Semestinya wujud di alam realiti ini guru-guru yang kurang menguasai bahasa Inggeris dan mengaggap pelaksanaan PPSMI hanya memberikan beban. Namun, sebaliknya, pelaksanaan PPSMI selama beberapa tahun ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kecekapan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan guru-guru. Mungkin pada mulanya mereka rasa terpaksa dan terbeban, tetapi setelah beberapa tahun mengajar, ia mula sebati dan menjadi kebiasaan. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa PPSMI mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Fenomena yang sama berlaku pada murid. Ini adalah sejajar dengan dapatan kajian Kementerian Pelajaran yang mendapati bahawa guru dan murid semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris dalam bilik darjah (Utusan Malaysia, 3 April 2005). Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Hon Choon Kim (20 Disember 2005) juga menyokong kenyataan ini semasa dalam mesyuarat dewan negara. Dengan perlaksanaan PPSMI dalam subjek sains, pelajar dapat lebih banyak peluang bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kadar pengguasaan bahasa yang tinggi ini telah menambahkan keyakinan pelajar untuk terus berkomunikasi dalam bahasa ini. Lama-kelamaan pelajar dapat bertutur bahasa ini dengan fasih.
            Walaupun prestasi pelajar didapati kurang memuaskan dengan adanya pelaksanaan PPSMI, ia tetap dapat membantu pelajar meningkatkan tahap kecekapan mereka berbahasa Inggeris. Apa yang perlu diperbaiki di sini adalah cara guru menyampaiakan ilmu sains itu sendiri. Guru harus yang berbahasa Inggeris dalam menerangkan konsep-konsep sains menggunakan terminology yang betul supaya pelajar mudah faham. Kekeliruan berlaku apabila guru tidak yakin berbahasa Inggeris semasa memberikan penerangan. Akibatnya, mesej penting yang ingin disampaikan tidak dapat pelajar fahami.
            Artikel ini menggunakan bahasa yang tepat dan padat serta mudah difahami. Tetapi ia kurang ada penyataan sokongan pada setiap fakta yang dikemukakan. Artikel ini akan lebih diyakini sekiranya terdapat banyak kenyataan sokongan dari kajian-kajian lalu. 







Friday, 30 March 2012

Artikel 1

ANTARA AKU, MEREKA, DAN PERALATAN PPSMI
Oleh: Philip ak Pupur

RINGKASAN
Kajian ini merupakan satu penyelidikan tindakan yang dijalankan dengan rakan kolaborasi serta guru-guru ETeMS di SK St John Taee, Serian terhadap penggunaan peralatan PPSMI. Kajian ini dibuat apabila didapati peralatan PPSMI yang dibekalkan ke sekolah jarang digunakan dan didapati juga ada daripada kalangan guru ETeMS langsung tidak memanfaatkan kemudahan yang disediakan. Kerajaan berhabisan berusaha mengeluarkan dana bagi membantu meningkatkan lagi tahap kecekapan berbahasa inggeris guru-guru Sains dan Matematik. Namun, pelbagai alasan yang sering dikemukakan adalah seperti tidak tahu dan tidak yakin menggunakan peralatan yang disediakan. Kajian juga dibuat untuk meningkatkan kemahiran melatih serta amalan kendiri dalam menggunakan dan mengendalikan peralatan PPSMI.

Kritikan dan komen:

Artikel ini sangat bagus kerana ia mendedahkan realiti sebenar yang berlaku di sekolah. Tidak dinafikan, malah disokong bahawa peralatan PPSMI yang dibekalkan tidak digunakan langsung oleh guru-guru disekolah. Dan,factor-faktornya tetap sama iaitu tidak ada kemahiran kendalihan alatan. Sepatutnya guru perlu belajar cara untuk menggunakan peralatan yang dibekalkan bagi mengatasi masalah ini. Kegagalan atau kejayaan pendidikan era maklumat ini bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh guru (Mohd Safarin, 2001). Sekiranya guru tidak menggunakan peralatan yang dibekalkan, bermakna usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan berbahasa inggeris di kalangan guru-guru sains dan matematik adalah sia-sia. Sepatutnya guru-guru penggunakan peralatan PPSMI yang dibekalkan semaksimum yang boleh. Mungkin dengan penggunaan bahan akan mampu meningkatkan lagi tahap penguasaan bahasa inggeris guru-guru. Peranan bahasa sangat penting dan akan mempengaruhi pencapaian pelajar.
Kekuatan artikel adalah instrument kajian (soal selidik) sangat sesuai digunakan. Kelemahannya pula, kajian ini hanya melibatkan 7 orang sahaja. Hasil kajian ini tidak boleh dianggap sebagai tanggapan semua guru yang terlibat dengan PPSMI.

Thursday, 29 March 2012

Etnomatematik Mencabar Eropusatisme

Penulis: Mohammad Alinor Abdul Kadir
Pautan: http://www.kesturi.net/archives/844

Sinopsis:
Artikel ini membincangkan beberapa persoalan yang timbul mengenai permasalahan melibatkan etnomatematik termasuk sejarah perlaksanaannya. Antara permasalahan awal etnomatematik adalah permasalahan yang berkaitan kepada pengajaran matematik kepada kanak-kanak sekolah rendah dan menengah dalam bahasa Sepanyol atau Portugis di Amerika Selatan. Masalah yang timbul adalah kanak-kanak tersebut tidak mampu memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Sepanyol dan Portugis kerana bahasa ibunda kanak-kanak ini adalah bahasa Brazil, bahasa Argentina, bahasa Mexico, bahasa Peru, dll. Kesannya adalah kanak-kanak tersebut gagal memahami matematik. Seperti juga masalah kita di Malaysia, mengajarkan matematik menggunakan bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda kanak-kanak iaitu bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin. Inilah permasalahan asalnya. Jadi, melalui artikel ini, penulis merungkai teknik-teknik pengajaran matematik berkonsepkan budaya dan kesenian di samping tinjauan lampau oleh pengkaji-pengkaji dari luar negara.

Ulasan / Kritikan:
Artikel ini sangat berguna dan memberi serba sedikit maklumat mengenai pengajaran berkonsepkan etnomatematik.

Bahan tambahan yg boleh diupload

1) http://satusekolahuntuksemua.files.wordpress.com/2009/07/746_ringkasan-pembangunan-pendidikan-2001-2010.pdf

2) http://www.utem.edu.my/pjka/download/Bab3.pdf


Akses Pendidikan


Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:

  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.

Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.

Ekuiti Pendidikan


Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).

Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

Artikel 5


Mathematics And Science Achievement In Malaysia
Oleh: Hui Peng Liew & Suet-ling Pong (2004)

Daripada:
http://paa2005.princeton.edu/download.aspx?submissionId=50599

Kajian adalah tentang mengetahui tahap pencapaian murid di Malaysia dalam subjek matematik dan sains. Responden yang terpilih adalah murid yang menduduki TIMSS 1999. Melalui kajian ini, didapati murid bukan melayu menunjukkan keputusan yang lebih baik di dalam subjek matematik tetapi tidak dalam subjek sains. Selain itu juga, murid lelaki menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam matematik dan sains berbanding murid perempuan. Ibu bapa dan pendidikan mereka juga memberi kesan terhadap pencapaian matematik tetapi bukan subjek sains.
Melalui dapatan ini, dapatlah dikatakan bahawa pencapaian murid dalam TIMSS adalah bergantung kepada pelbagai faktor. Namun begitu, kita masih lagi berada di tahap kurang memberansangkan di dalam TIMMS kerana banyak faktor yang belum diatasi seperti jurang pendidikan yang berlaku iaitu kurangnya kemudahan yang disediakan buat murid yang berada di luar negara.
Selain itu juga, melalui kajian ini, dicadangkan juga agar polisi pendidikan diperbaiki kerana untuk mencapai tahap pendidikan antarabangsa, dasar pendidikan yang cekap berpengetahuan yang menyeluruh diperlukan. Polisi tersebut termasuklah menyediakan kemudahan kepada keluarga, murid, guru dan sekolah, mengubah kurikulum,  dan melaksanakan amalan pengajaran.
Secara amnya, kajian merujuk kepada perubahan besar-besaran yang perlu dilaksanakan oleh pihak kementerian pendidikan kerana tunjangnya adalag kurikulum yang bersesuaian perlu dirangka bagi mencapai prestasi yang lebih baik dalam pendidikan matematik. Oleh itu, besarlah tanggungjawab pihak kementerian untuk membuat perubahan agar pendidikan matematik negara ini setanding dengan negara luar.

Artikel 4


Why Using International Comparative Math And Science Achievement Data From TIMSS Is Not Helpful
Oleh: William G. Holiday & Berchie W. Holiday (2003)

Daripada:

Kita sedia maklum TIMMS dilaksanakan untuk membuat perbandingan di antara pencapaian matematik di kalangan negara-negara antarabangsa. Namun begitu, terdapat juga kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa keputusan yang diperolehi oleh TIMMS tidak membantu dalam menentukan pencapaian murid-murid tersebut di dalam bidang matematik.
Ini kerana, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keputusan tersebut kurang berguna. Antaranya ialah:

  1. Penggunaan bahasa ibunda yang berbeza
  2. Sampel yang digunakan sedikit
  3. Kurikulum yang dibina berbeza
  4. Pemilihan responden yang tidak mengikuti standard yang ditetapkan
  5. Persediaan murid yang berbeza

Melalui artikel ini, didapati keputusan TIMSS yang dikeluarkan adalah kurang tepat untuk digunakan di dalam menentukan ranking bagi setiap negara dalam subjek matematik. Penilaian dan refleksi sepenuhnya diperlukan dalam memastikan keputusan TIMMS tersebut berguna seperti penyelarasan bahasa yang akan memudahkan murid semasa menjawab soalan serta pemilihan responden yang teliti dan telus. Ini akan dapat membantu menambahbaik TIMMS pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, TIMSS adalah satu keuputusan yang boleh kira di ambil berat oleh sesetengah negara. Namun begitu, sekiranya keputusan yang diberikan tidak berguna, seharusnya kewangan yang dikeluarkan boleh disalurkan kepada bahagian-bahaian pendidikan yang lain seperti menyediakan kemudahan yang cukup kepada sekolah-sekolah.