Monday 7 May 2012

Budaya Sekolah Rendah: Hubungannya dengan Kepimpinan, Komitmen Organisasi dan Pencapaian Akademik

Penulis: Yaakob bin Daud
Pautan: https://docs.google.com/a/siswa.upsi.edu.my/file/d/0B4krIkXLX9f3OFhySC1VbjNYb0E/edit

Sinopsis:
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti budaya sekolah positif iaitu hubungan kemanusiaan, sistem terbuka, matlamat rasional, dan proses dalaman (Quinn, 1988) di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mengikut pencapaian akademik. Di samping itu, kajian ini juga dijalankan untuk mengenal pasti hubungan antara budaya sekolah, pencapaian akademik, komitmen organisasi, dan kepemimpinan sekolah. Dua kaedah pengumpulan data digunakan dalam kajian ini, iaitu kaedah tinjauan dan kaedah kualitatif. Kaedah tinjauan melibatkan sampel seramai 141 orang Guru Besar dan 657 orang Guru Penolong di sekolah-sekolah rendah di negeri Kedah sementara kaedah kualitatif yang menggunakan teknik temu bual melibatkan empat orang Guru Besar dan 16 orang Guru Penolong. Data kuantitatif dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 11.5 for Windows dan bagi menguji hipotesis kajian, ujian Analysis of Variance (ANOVA), Multivariate Analysis of Variance (MANOVA), Korelasi Spearman, dan Regresi Berganda digunakan. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa terdapatnya perbezaan yang signifikan dalam budaya sekolah positif antara sekolah yang berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah serta antara Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Kajian ini juga menunjukkan wujud hubungan yang signifikan antara budaya sekolah positif dengan kepemimpinan guru besar, komitmen guru, dan pencapaian sekolah. Data kajian kualitatif didapati menyokong kuat data kuantitatif. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan budaya sekolah merupakan peramal terhadap pencapaian sekolah dan faktor yang mempengaruhi komitmen guru. Dapat dirumuskan bahawa budaya sekolah positif secara relatif lebih dipraktikkan di sekolah berpencapaian tinggi berbanding di sekolah berpencapaian rendah dan budaya sekolah positif mempunyai hubungan dengan komitmen guru, kepemimpinan sekolah, dan pencapaian sekolah. berdasarkan hasil kajian, implikasi dan cadangan kajian akan datang juga dikemukakan.

Ulasan / Kritikan:
Peranan sekolah sebagai agen sosialisasi tidak pernah disanggah oleh ahli-ahli sosiologi mahu pun pendidikan. Budaya sekolah positif dikenal pasti sebagai salah satu faktor penting dalam menjayakan wawasan dan matlamat sekolah agar seiring dengan inspirasi negara. Justeru, warga sekolah terutamanya para guru dan kepemimpinan sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mencorak dan menyuburkan budaya sekolah positif demi melahirkan modal insan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti budaya sekolah positif, komitmen organisasi, dan kepemimpinan sekolah yang menjurus kepada kejayaan sesebuah sekolah.

 


No comments:

Post a Comment